Tuesday 10 July 2012


Ulama: Dimuliakan @ Hormat???


Ada bezanya antara menghormatikan dan mensucikan. Dalam bahasa Arab disebut tauqir (memuliakan), sementara mensucikan disebut taqdis. Memuliakan atau tauqir bererti kita memberikan penghormatan kepada seseorang atau sesuatu pihak. Ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang ada pada pihak atau individu tersebut. Jika dia pemimpin, atas nilai kepimpinan yang ada padanya. Jika dia ulama, atau ilmuwan maka atas nilai ilmu yang ada padanya. Jika dia orang tua, atas nilai usia dan pengalaman hidup yang dilalui. Demikianlah seterusnya.

Adapun taqdis atau mensuci bererti menganggap seseorang atau sesuatu itu terpelihara dari sebarang dosa, atau kesalahan. Menganggap ia suci (sacred) bererti apa sahaja yang datang daripadanya adalah benar dan mulia, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Islam menyuruh kita menghormati ulama atau disebut tauqir al-‘ulama tetapi tidak membenarkan kita mensucikan mereka atau taqdis al-‘ulama. Kita menghormati mereka kerana keilmuan mereka. Apabila mereka berbicara dan bertindak dalam kerangka ilmu, maka dihormati dan disayangi. Kita berinteraksi dengan mereka dengan cara yang hormat dan sopan.
Namun, dalam masa yang sama kita tidak dibenarkan menganggap mereka suci dari kesilapan dan kesalahan. Mereka bukanlah para rasul yang setiap tindakan mereka yang berkaitan dengan agama dianggap hujah. Adapun para ulama mereka terdedah kepada salah dan silap, sama seperti manusia lain. Apabila ternyata mereka salah, atau silap kita tidak boleh mengikut kesalahan kesilapan itu. Dalam ertikata lain, kita menghormati, bukan mensucikan mereka.

Perkara yang begitu asas sebegini kadang kala gagal difahami oleh sesetengah umat Islam. Apabila mereka menghormati seseorang tokoh agama, mereka seakan menganggap pendapatnya suci, atau bagaikan wahyu yang mesti diikut tanpa perlu mengetahui alasan dan hujahnya. Mengikut secara ‘membabi buta’. Mereka letakkan tokoh-tokoh agama itu bagaikan nabi dan rasul.
Akhirnya, mereka mandulkan akal dan kewarasan mereka dengan mengikuti segala yang dititah atau pendapat yang dinyatakan oleh tokoh itu sekalipun ilmu dan akal yang Allah anugerahkan menyanggahinya. Ia amat berbahaya. Jika tokoh agama itu meminta wang daripada mereka, sekalipun tidak jelas alasannya mereka berikan. Jika tokoh agama itu memberikan pendapat dalam sesuatu perkara sekalipun ternyata salah dari segi angka dan fakta, mereka tetap telan dan terus menyanjung pendapat itu. Jika tokoh agama itu agung-agungkan dirinya dan menganggap dia luar biasa, sehingga ternyata kepada mereka yang bebas dari unsur ketaksuban bahawa itu adalah ‘takabur yang nyata’, namun pengikutnya tetap mencium tangan dan berkata ‘benar!’.
Maka bukan sedikit dalam sepanjang sejarah, atas nama agama atau tokoh agama eksploitasi terhadap akal, maruah, harta, kuasa dan berbagai lagi yang berlaku. Sebab itu Islam menentang sebarang unsur pemujaan kepada manusia sehingga mengenepikan ajaran Allah S.W.T dan RasulNya s.a.w.
Siapakah dalam kalangan ulama yang merasakan dirinya lebih baik daripada Saidina Abu Bakr al-Siddiq? Jika Abu Bakr berucap pada hari perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361), apakah layak untuk seseorang selain Abu Bakr berkata: “Aku mufti aku mesti betul”, atau “Aku tok guru aku tak akan salah”, atau “Aku ustaz, kau siapa?!”.
Perkara ini perlu sentiasa ditegaskan, agar kita mengetahui dan selalu sedar bahawa gelaran ‘ulama’, ‘tok guru’, ‘ustaz’, ‘kiyai’, dan berbagai lagi, hanyalah pemberian dan panggilan yang diberikan oleh manusia. Ia hanyalah anggapan baik atas faktor-faktor luaran yang dilihat pada seseorang dan persepsi yang ada dalam gambaran pihak yang memanggil atau memberikan gelaran tersebut.

Samalah juga dengan Professor, Dr dan seumpamanya, walaupun ia menerusi proses yang tertentu, namun itu bukan pertabalan yang ditetapkan Allah seperti pertabalan nabi dan rasul. Ertinya, gelaran-gelaran itu bukanlah jaminan untuk mereka tidak salah, atau melakukan dosa kecil mahupun besar. Ia bukan jaminan kemaksuman. Ia hanya sangkaan baik sesama manusia.
Sebab itu, ada golongan yang dinamakan ‘ulama jahat’. Maka, hormati golongan agama dengan kadar-kadarnya, namun jika ada pandangan atau tindakan mereka melampaui batasan kebenaran dan ilmu, kita akan menyanggahi atau berbeza dengannya tanpa perlu mengukur kadar ‘gelaran’ atau berat serban, atau labuh jubah yang dipakai.
Masyarakat Islam Malaysia hari ini antara masyarakat yang agak berharta. Maka, ramailah yang datang dari dalam negara dalam luar menonjolkan berbagaikan kelebihan agama yang sebahagian mereka mempunyai agenda ‘wang besar’ ke atas kita. Cerita-cerita keajaiban kiyai itu dan ini mula kedengaran. Kehebatan jampi dan air liur tok guru itu dan ini mula dipromosikan. Ramai yang menjadi kaya kerananya. Jika ini tidak dibendung, ia akan menjerumuskan masyarakat kita kepada minda khurafat, bukan minda kewarasan dan ilmu.Pengajarannya,usahlah taksub atau ikut membuta tuli akan kita kepada guru kita.kita juga haruslah berfikiran waras di dalam menilai sesuatu pendapat yang dikeluarkan mereka.

No comments:

Post a Comment